GayahIsTyping – Erra Fazira Bawa Pengalaman Dalam ‘Rumah’

GayahIsTyping Erra Fazira

PETALING JAYA : Pengalaman sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan membuatkan primadona filem Melayu ini menerima tawaran beraksi dalam filem seram Rumah.

Erra Fazira mengakui, jalan cerita yang diberitahu mendiang Kay iaitu pengarah filem berkenaan membuatkan dia menerima tawaran kerana watak yang dekat dengan pengalaman hidupnya.

“Saya tertarik dengan apa yang mendiang beritahu dan gambarkan sementelah saya juga seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan.

“Jadi sedikit sebanyak saya ada pengalaman yang berkait dengan jalan cerita filem ini,” katanya ketika ditemui di sesi prebiu filem itu.

Erra mengakui, sebagai pelakon dia memberikan yang terbaik dan berusaha menjayakan watak yang dibawa dengan berkesan.

Bergandingan dengan Puteri Balqis, bintang filem Sembilu itu mengakui tidak berdepan dengan masalah kerana menganggap pelakon berkenaan seperti anaknya.

“Sebagai pelakon kita berikan yang terbaik dan hasilnya ialah secara berpasukan. Saya puji muzik filem ini menarik.

“Mendiang pengarahnya juga seorang yang sangat berani memberi peluang kepada bakat baharu dalam filem arahan ya dan bagi saya ia satu hal yang positif,” katanya.

Mengenai penerimaan penonton terhadap filem lakonannya itu, Erra menyerahkan kepada mereka untuk menilai.

“Saya sangat positif apabila menerima tawaran dan bila hasilnya siap adalah sesuatu yang di luar kawalan,” katanya.

Filem Rumah bakal menemui penonton pada 24 Februari ini mengisahkan mengenai ibu tunggal yang berdepan dengan misteri demi memberikan keselesaan kepada anak perempuannya.

Erra juga memberitahu sedang sibuk dengan projek album baharunya serta jenama Heyrra yang dilancarkan baru-baru ini. – GayahIsTyping

 

URL link : https://gayahistyping.com/2022/02/erra-fazira-bawa-pengalaman-dalam-rumah/

Scroll to Top
Scroll to Top